Friday, May 6, 2011

Bersangka baik amalan mulia~

       Berjalan aku seorang diri, daripada tempat mengaji al-Quran di rumah guruku ke rumahku. Jam tangan menunjukkan pukul 5.30 petang. Dalam perjalanan, aku terlihat seorang lelaki sedang memegang tangan seorang perempuan, mesra lagi tu. Kedua-duanya masih remaja. Aku pun teringat kata-kata guruku bahawa perempuan haram disentuh oleh lelaki. Mereka berdua berjalan berlawanan arah denganku. Ketika berselisih, aku menjeling mereka berdua dengan tajam.

      Setelah sampai ke rumah, aku pun menceritakan hal tersebut kepada ayahku yang baru balik dari kebun. Ayahku yang masih bermandi peluh tersenyum mendengar ceritaku.
       
      "Kau pasti mereka berdua bukan muhrim?" tanya ayahku.

Aku pun terdiam sejenak. Ayahku menyambung kata-katanya.
     
      "Janganlah kita cepat bersangka buruk terhadap orang lain, banyak sudut kita kena ambil kira jika kita melihat orang lain seolah-olah melakukan perkara yang tidak baik di mata kita. Mahu ayah ceritakan suatu kisah berkenaan pentingnya baik sangka?"

      "Sudah tentu!" kataku spontan.

      "Ini bukanlah kisah benar, cuma rekaan ayah semata-mata. Ada satu kisah tentang seorang penjual kain bernama Abu di suatu tempat di tanah Arab. Ketika musim berdagang, dia akan berjalan selama lebih kurang 1 minggu untuk sampai ke tempat perniagaan, di bawah matahari yang memancarkan habanya yang sangat panas, meninggalkan isteri dan anak-anak yang tersayang. Apabila sampai ke tempat dia menjual kain bersama dengan keldainya yang membawa barangannya, dia pun menyusun semua kain yang dibawanya di atas meja. Bukan dia seorang sahaja yang berniaga di situ, bahkan ramai lagi yang lain mengambil peluang berniaga di tempat itu dengan pelbagai jenis barang jualan. Ini kerana tempat tersebut menjadi tumpuan ramai kerana tanahnya yang subur dan adanya sumber air bawah tanah yang banyak. Abu merupakan seorang peniaga yang sentiasa bersangka baik. Dia sentiasa memikirkan yang setiap kesukaran yang dia hadapi pasti ada hikmahnya. Ada seorang yang berniaga di sebelahnya, merupakan seorang yang pesimis. Ada saja yang tidak kena di matanya. Hatinya selalu tidak tenang. Apabila jualannya tidak laku, Pasti dia akan marah-marah orang lain termasuk Abu.

      "Abu! apa yang kau buat sehingga tidak ada seorang pun yang membeli barangan daripada aku. Mesti kau menghasut mereka semua, menyebarkan fitnah!"

       "Sabarlah Othman, Janganlah kau tuduh orang lain sembarangan, Tidak pernah pun aku buat macam tu. Kau kena bersabar, memang macam itu nasib orang berniaga. Mesti kena bersusah-susah dahulu, baru boleh untung. Kita kena bersabar, dan jangan lupa sentiasa berharap dan bersangka baik kepada Allah." kata Abu untuk menasihatinya.

Padahal sebab yang sebenar tidak ada seorang pun yang membeli barangannya ialah kerana mukanya yang sentiasa masam, tambahan dia, Othman, memaksa orang untuk singgah di gerainya dengan nada yang garang. Sudah tentulah orang tidak mahu singgah, ayah pun tidak mahu".

         "Bagaimana dengan Abu, adakah jualannya laku?" Tanyaku setelah hanya menjadi pendengar.
        
         "Abu pun tidaklah dapat menjual barangannya dengan baik, sebab banyak gerai-gerai yang lain yang berada di sekitar menjual kain yang berkualiti jauh lebih tinggi daripada kainnya. Tetapi Abu sentiasa optimis.

         "Mungkin rezekiku bukanlah pada menjual kain. Aku kena mencari ikhtiar lain supaya aku boleh menanggung nafkah isteri dan anak-anakku." kata Abu sambil tersenyum. Dia tahu bahawa nasibnya sudah ditentukan oleh Allah, Sebaik-baik Perancang. Pasti kesusahan yang dia hadapi akan dibalas dengan kebaikan. Jika tidak di dunia, balasan akhirat pun sudah sangat membahagiakan"

         "Wah, hebatnya semangat Abu, walaupun kehidupannya sangat susah, tetapi dia tetap masih mampu tersenyum." Kataku

         "Ya, begitulah sepatutnya kita, sebagai orang muslim, kita sepatutnya bersangka baik, bersangka baik yang paling utama ialah bersangka baik kepada Allah," kata ayahku membenarkan kata-kataku.

         "Apa yang terjadi kepada Abu selepas itu?" tanyaku, tidak sabar untuk mengetahui nasib Abu selepas itu.

         "Abu bercadang untuk membuat tempat untuk menternak ikan. Pada masa itu, di daerah di mana Abu menetap bersama keluarganya, tiada seorang pun yang menternak ikan, kerana pada masa itu kepakaran tidak ada di tempatnya. Amat sukar sekali untuk menemukan orang yang pandai menternak ikan. Jadi sudah pasti ada orang mengkritik Abu apabila dia mahu memulakan bidang tersebut.

        "Wahai si bodoh, kau tahu bagaimana untuk menternak ikan? Orang papa kedana macam kau ni lebih baik buat seperti orang fakir lain buat, jadi pengemis. Janganlah kau mahu berlagak!"

        "Janganlah kau risau, Aku cuma berikhtiar supaya nafkah keluargaku dapat ku tanggung. Jika tidak berjaya maka aku akan cari ikhtiar yang lain," Abu sebenarnya pernah belajar sedikit sebanyak tentang ilmu penternakan daripada seorang yang ditemuinya di tempat dia berniaga dahulu. Itulah salah satu kebaikan apabila kita baik dengan pelanggan.
   
        Setelah beberapa tahun berlalu, bidang yang diceburinya amat berjaya, banyak ikan yang dapat diternaknya. Sudah tentu pelanggannya juga banyak. Abu amat bersyukur kepada Allah kerana telah mengurniakannya tezeki yang membantunya menyara keluarganya. Dia juga merupakan seorang yang sangat pemurah, selalu membantu orang yang kesusahan. Orang yang mengkritiknya dahulu ketika dia ingin mula menternak ikan datang kepadanya untuk menawarkan diri untuk menjadi pekerjanya. Abu dengan sifat bersangka baiknya percaya bahawa orang tersebut telah berubah menjadi orang yang baik dan bersetuju mengambilnya bekerja."

         "MashaAllah, segala pujian hanya untuk Allah, jika Allah mengurniakan saya sifat seperti Abu pasti saya akan berjaya di dunia dan akhirat", kataku kepada ayahku.

        "InsyaAllah, kamu kena berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan, jangan biarkan  manusia menjadi penghalang usaha kamu selagi kamu yakin bahawa apa yang kamu usahakan selari dengan kehendak Allah, yang pasti menguntungkan kita. Antara perkara penting untuk berjaya, pastikan kamu sentiasa bersangka baik sesama manusia, pasti hati kita tenang", ayahku sangat pandai memberi nasihat padaku. Semoga Allah memberikan balasan yang terbaik untuk ayahku. Jika aku sentiasa berbaik sangka kepada Allah, sudah tentu sesama manusia juga aku akan berbaik sangka.

1 comment:

  1. best lah cte tok Abdullah. buat dirik pun ka? or copy paste hehe.

    ReplyDelete