Thursday, May 5, 2011

Tegurlah aku dengan baik~

             "Hei! Ko tau tak yang dating ni berdosa, boleh menyebabkan zina ko tau tak, atau memang ko dah....", tegur seorang yang berserban dan berpakaian jubah dengan suara yang nyaring kepadaku di depan orang yang lalu lalang.

            Dalam fikiranku masa itu seolah-olah hendak mencekiknya dan menumbuknya sekuat hati. Alangkah sakitnya hati apabila ditegur sebegitu rupa di depan orang ramai, aku hanya mampu diam menahan pedih di hati supaya keadaan tidak bertambah buruk. Teman wanitaku masa itu hampir menjerit marah tetapi aku menahannya.

            Aku kenal orang yang menegurku itu, dia pelajar satu kuliah dengan aku. Dia juga merupakan orang yang memegang jawatan tinggi dalam majlis perwakilan pelajar di universiti kami. Tetapi, sedikit pun aku tidak ada rasa hormat pun akan dia apatah lagi selepas kejadian tersebut.

           Aku pada masa itu, iman sangat lemah. Insiden itu menyebabkan aku lebih sakit hati untuk menjadi 'alim. Solat kadang-kadang saja buat. Mengumpat sudah menjadi perkara biasa. Aku selalu bersangka buruk terhadap orang-orang yang nampak 'alim.

          Hari berlalu seperti biasa, pada ketika aku berjalan menuju ke kafe untuk makan tengahari, tiba-tiba seorang lelaki lebih kurang sebaya aku memanggilku.

          "Assalamualaikum Naz! Lama tak jumpa!".
          "Waalaikumsalam". Aku melihat mukanya, seperti pernah ku lihat.
          "Oh, Fateh rupanya, patutlah macam kenal, wah, apa kau buat kat sini?", rupanya orang yang menegurku tadi ialah rakan sekelasku ketika sekolah rendah.

          "Aku baru register kat sini." katanya.

Kebetulan ada katil kosong dalam bilikku, aku pun menyuruhnya menjadi rakan sebilikku. Setelah berbual panjang, aku mendapat tahu yang dia merupakan lepasan sekolah menengah jenis agama. Tetapi gayanya berbual denganku seperti kawan-kawanku yang biasa aku bergaul.

          Dia, hampir setiap hari, setiap kali waktu solat masuk, pasti dia akan solat berjemaah di masjid. Kadang-kadang dia mengajakku sama tetapi aku bagi alasan aku mahu solat kat bilik. Dia sekali-kali tidak pernah memaksaku, dan ya, kadang-kadang saja dia mengajakku. Mungkin dia tahu aku akan berasa rimas jika didesak selalu. Pakaian yang dia selalu pakai sempoi je, tidak kira kat mana, termasuk juga di masjid.

        Ada suatu hari, apabila matahari hendak melabuhkan cahayanya, disertai hujan renyai-renyai, sahabatku, Fateh mengajakku untuk turut serta bersamanya pergi ke ceramah motivasi di Pusat Konvensyen. Aku bersetuju untuk mengikutnya, semangatku makin bertambah apabila dia bagitahu yang makanan ada disediakan, Mana boleh lepas peluang, kalau ada majlis kat Pusat konvensyen, mesti makanan dia high standard!

Selepas solat Isyak, kami menaiki LRT untuk pergi ke tempat tersebut. Setelah mendaftar, Fateh membawaku ke tempat duduk kami. Acara pun bermula, penceramahnya bukanlah calang-calang orang, dia merupakan seorang penulis buku bestseller yang amat terkenal, yang dijemput khas dari Arab Saudi. Tapi pada masa itu aku belum mengenalinya lagi, sebab aku sebelum ini aku bukanlah jenis orang yang suka baca buku-buku ilmiah.

Dalam ceramah itu antara isi-isi yang sangat menyebabkan aku terasa  yang disampaikan oleh penceramah tersebut ialah,
-Belum tentu hari esok kita akan hidup, pelbagai kisah kematian yang berlaku kepada golongan muda ketika kematian jauh daripada fikiran.
-Azab di dalam kubur dan neraka amatlah seksanya, berkali ganda jauh lebih seksa daripada kesakitan di dunia.
-Manusia tidak semestinya kelihatan baik di luar, dalamnya juga baik. Hatilah yang menentukan kebaikan seseorang.
-"Lakukanlah apa yang engkau yakin benar, hindarilah segala kritikan yang tidak bernilai"
-Hanya dengan mengingati Allah, hati akan tenang
-Kebaikan tidak akan tercapai tanpa mujahadah.

     Itulah antara isi-isi yang menyebabkan aku mengubah gaya hidup dan pemikiranku. Ya, dulu pun aku bukanlah sejahat mana, tidak pernah pun minum arak, begitu juga berzina. Tetapi, jika tidak ada peringatan yang disampaikan kepadaku, jika orang 'alim' yang aku jumpa hanya seperti orang yang mengaibkan aku di khalayak ramai, kemungkinan besar dosa-dosa tersebut akan aku lakukan.

Alhamdulillah, Allah yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang telah memberiku hidayah, dan tidaklah kekal kebaikan yang aku terima melainkan aku kena berusaha bersungguh-sungguh untuk menambah ilmuku terutama ilmu agama supaya aku tidak lagi terpesong. Aku putuskan hubungan dengan teman wanitaku dengan cara yang baik, dan memberitahunya jika sudah jodoh, tidak akan ke mana-mana, cuma caranya kena betul. Aku juga menasihati dia supaya mengikut jejak langkahku. Ajal boleh datang bila-bila masa. Aku juga kena bersedia bila-bila masa.

No comments:

Post a Comment